Jumaat, 31 Julai 2009

Antara masuk dan Keluar

Seperkara lagi yang perlu disebutkan adalah mengenai penggunaan perkataan 'akh-raja' semasa Allah menceritakan mengenai cahaya 'siang' di langit diperingkat awal dahulu. Akh-raja bermaksud 'dikeluarkan'. Justeru sekiranya maksud ini digunapakai ayat sebelum ini dapat diterjemahkan sebagai ""Dia meninggikan bangunan (langit) lalu menyempurnakannya dan dia menjadikan malamnya gelap-gelita, serta menjadikan siangnya terang-benderang."

Kebiasaannya apabila Allah menceritakan mengenai perubahan ataupun silih bergantinya malam dan siang perkataan Arab yang digunakan berasal daripada perkataan walaja. Di dalam Hans Wehr: A dictionary of Modern Written Arabic, 'walaja' diterjemahkan sebagai 'to enter' yang bermaksud 'memasuki'. Perkataan ini digunakan lebih daripada 10 kali di dalam al-Quran. Sebagai contoh dalam surah Luqman ayat 29, Allah menjelaskan "Apakah kamu tidak memerhatikan bahawa Allah memasukkan siang kepada malam." Perkataan yuuliju dalam ayat ini berasal daripada perkataan walaja.

Justeru di dalam Quran, perubahan malam dan siang berlaku dalam bentuk 'malam memasuki siang dan siang memasuki malam.' Kadangkala perkataan ikhtilaf (iaitu perubahan) digunakan bagi menceritakan berkenaan 'perubahan malam dan siang'. Perkataan ini digunakan lebih kurang 5 kali di dalam Quran. Namun dalam surah an-Naziat ini perkataan akh-raja (dengan maksud dikeluarkan) digunakan. Ia menunjukkancahaya di langit dikeluarkan daripada kegelapannya. Ia seolah-olah menampakkan yang fenomena ini berlaku di luar persekitaran bumi. Sekiranya di Bumi 'siang' dimasukkan kepada 'malam' tetapi kali ini 'siang dikeluarkan daripada malam'. Di sudut sains fenomena ini mengagumkan kerana menceritakan mengenai kegelapan langit yang kemudiannya mengeluarkan cahaya yang terang benderang.

Berhubung dengan perkara ini pandangan Said Hawa di dalam al-Asas fi al-Tafsir agak menarik bagi diketengahkan. Beliau berkata "Aku berpendapat ayat ini (iaitu ayat 29 surah an Naziat) bermaksud (Allah) menghilangkan malam di langit dan mengeluarkan siang daripadanya sehingga tidak wujud lagi malam baginya."

Penemuan sains pada hari ini mengesahkan pada peringkat awal kejadian alam, selepas berlaku ledakan Big Bang, alam semesta berada dalam keadaangelap-gelita. Selepas itu baru datang cahaya yang terang benderang. Hal ini disahkan oleh NASA. Mengikut kenyataan akhbar NASA dibawah tajuk Scientist See Light that May Be from First Objects in Universe (Press Release) bertarikh 2 November 2005, "Para saintis NASA berjaya mengesan cahaya yang mungkin datang daripada objek pertama yang lahir selepas ledakan Big BAng lebih kurang 13 bilion tahun dahulu. Penemuan ini berjaya dilakukan dengan menggunakan Spitzer Space Telescope. Selepas bahang Big Bang reda, alam berada dalam keadaan gelap gelita berjuta-juta tahun lamanya sebelum lahirnya objek yang bercahaya ini."

Ayat ini juga menarik di sudut urutannya kerana ia menunjukkan semasa langit sedang dibangunkan kegelapan menyelimuti angkasa terlebih dahulu sebelum terbit cahaya yang menerangi kosmos. Selepas itu proses kejadian Bumi bermula. Urutan sememangnya selari dengan penemuan sains dalam bidang astronomi dan astrofizik.

Pada hari ini angkasa sememangya terang benderang dengan cahaya. Ia adalah cahaya radiasi yang datang daripada bintang-bintang dan galaksi. Hal ini dilaporkan dalam Universe today bertarikh 10 Mei 2006, di bawah tajuk Measuring the Background Light of the Universe. Justeru memang benar kalam Allah menjelaskan, "Dia melahirkan gelap-gelita malam (di langit) dan mengeluarkan cahaya yang terang-benderang daripadanya."

Tiada ulasan: