Sabtu, 25 Julai 2009

Kronologi Kejadian Alam

Para saintis pada hari ini sering bertanya "Apakah yang sebenarnya berlaku selepas ledakan Big Bang?" Justeru sebahagian mereka cuba menyusun satu bentuk kronologi berhubung perkara ini. Selepas mengkaji pandangan-pandangan mereka, saya mengolah dan menyusun semula kronologi itu mengikut enam fasa.



Fasa pertama (Ledakan dan pengembangan). Peringkat ini bermula daripada saat ledakan Big Bang sehingga berlalu masa 0.000000000000000000000000000000001 saat. Kosmos pada masa itu melalui proses pengembangan yang laju. Ia berkembang daripada ukuran sebesar atom kepada ukuran sebiji buah nangka dalam masa yang singkat iaitu kurang daripada satu perbilion saat dalam keadaan suhu yang mencecah 10 kuasa 27 darjah Celsius. Dalam masa yang singkat angkasa dipenuhi elektron dan quarks.

Fasa kedua (Penyejukan dan kelahiran nukleus). Pada masa ini peringkat berlalu lebih kurang tiga minit. Suhu, yang diperingkat sebelumnya berada di tahap yang tinggi, melalui proses penyejukan dan turun ke paras 10 kuasa 8 darjah Celsius. Keadaan ini memungkinkan quarks bercantum sesama sendiri dan bertukar menjadi proton dan neutron. Percantuman proton dan neutron melahirkan nukleus dan proses kelahiran nuekleus ini menjadi asas kepada kelahiran atom hidrogen dan helium kemudiaannya. Oleh kerana atom belum lagi wujud di peringkat ini, kosmos berada dalam keadaan gelap gelita.


Fasa ketiga (Kelahiran Atom). Fasa ini memakan masa lebih kurang 300,000 tahun. Di peringkat ini elektron bercantum dengan proton serta neutron dan dengan itu lahirlah atom-atom, terutamanya atom-atom hidrogen dan helium. Kelahiran atom-atom ini menjadi titik permulaan kepada kelahiran cahaya di kosmos. Suhu pada masa itu mencecah lebih kurang 10,000 darjah Celcius.

Fasa keempat (Asap dan kelahiran Galaksi serta Bintang). Fasa ini bermula 300,000 tahun hingga lebih kurang 2 bilion tahun selepas Big Bang. Pada peringkat ini tarikan graviti menyebabkan gas-gas hidrogen dan helium bercantum sehingga melahirkan gumpalan-gumpalan asap raksasa. Daripada gumpalan-gumpalan asap ini lahir galaksi. Walaupun gumpalan-gumpalan asap yang kecil, ia berperanan melahirkan bintang-bintang.

Fasa kelima (Percantuman Galaksi, Kelahiran Big Hole, Supernova dan Matahari). Fasa ini memakan masa daripada 1 bilion tahun hingga 9 bilion tahun selepas ledakan Big Bang. Pada peringkat awal fasa ini galaksi-galaksi bercantum antara satu sama lain. Proses cantuman ini berlaku dengan dahsyat sekali sehingga menyebabkan kemusnahan sebahagian bintang. Bintang-bintang yang hancur bersama-sama dengan gas yang terhasil terhumban ke suatu pusat dan dengan itu menghasilkan satu lubang yang terlalu padat (very dense) tanpa mempunyai isipadu (with no volume). Lubang ini mempunyai tarikan graviti yang terlalu kuat dan dikenali sebagai lubang hitam atau black hole.Apa sahaja yang memasukinya termasuk cahaya tidak mampu keluar daripadanya. Gas-gas yang disedut oleh lubang hitam ini berada ditahap suhu yang tinggi sehingga mengeluarkan cahaya terang benderang yang pada hari ini dikenali sebagai quasars. Selepas ia memasuki lubang hitam ia lenyap selama-lamanya.

Pada peringkat ini proses kehancuran bintang-bintang berlaku dengan pesatnya. Proses kehancuran ini melahirkan ledakan dahsyat yang dikenali sebagai supernovae. Ledakan ini mengeluarkan elemen-elemen seperti oksigen, karbon, nitrogen dan besi ke angkasa raya. Di samping itu, ia juga mengeluarkan elemen-elemen berat seperti emas, perak, uranium, plumbum (lead) dan seumpamanya. Kesemua ini menjadi asas bagi melahirkan galaksi-galaksi baru. Di penghujung fasa ini (lebih kurang 5 bilion tahun dahulu) lahirlah matahari dan sistem solar.


Fasa keeenam (Kejadian Bumi dan Atmosfera dan Permulaan Hidupan). Fasa ini bermula kira-kira 9 bilion tahun selepas ledakan Big Bang, iaitu 4.5 bilion tahun dahulu. Di peringkat ini bermula kejadian bumi dan atmosfera yang berhubungan dengannya. 1 bilion tahun selepas itu (lebih kurang 3.5 bilion tahun dahulu) lahir hidupan yang pertama di atas muka Bumi ini. (Parker, Barry R., The Vindication of the Big Bang: Breakthroughs and Barriers, New York: Plenum Press, 1993; NOVA Science Programming on Air and Online, Public Broadcasting Service (PBS) History of The Universe, http://www.pbs.org/wgbh/nova/origins/univ-nf.html)

Apabila ayat-ayat Ql-Quran berhubung kejadian langit dan Bumi ini dikaitkan dengan penemuan semasa, kita akan mengagumi ayat ini kerana ia menceritakan mengenai fasa-fasa kejadian langit dan Bumi secara sistematik. Justeru Said Hawa dalam Kitab al-Asas fi al-Tafsir berkata "Memang jelas sekali al-Quran menetapkan penciptaan galaksi-galaksi (di-langit) berlaku terlebih dahulu daripada Bumi. Ini merupakan sebahagian mukjizat yang menunjukkan Quran datang daripada Allah"

2 ulasan:

A berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
A berkata...

salam,

erm saya cuma mahu menegur plagiarism yang berlaku di sini (sama ada sengaja atau tidak).

apabila menulis, perlu ada beberapa etika yang diikuti.

contoh di sini, menyalin bulat-bulat penulisan seseorang tidak salah, selagi dinyatakan SUMBER dan PENULIS ASAL penulisan itu.

tambahan, ada perkataan "saya" dalam penulisan ni. ini boleh timbulkan salah faham.

saya harap saudara faham niat baik saya. tidak salah berkongsi ilmu, tetapi biarlah sumber rujukannya jelas.

:)