Ahad, 5 Julai 2009

Planetarium dibuka 15 Julai

MELAKA 2 Julai - Melaka menambah satu lagi tarikan kedatangan pelancong ke negeri ini apabila Planetarium Melaka bernilai RM20 juta akan dibuka kepada orang ramai bermula 15 Julai ini.
Apa yang pasti, ia bakal menjadi tarikan baru kepada pelancong dalam dan luar negara jika mereka ingin melihat 20 peralatan berteknologi tinggi bernilai RM2.4 juta yang terdapat di sini.

Menambah tarikan itu, Planetarium Melaka turut menyediakan kemudahan seperti galeri, ruang persembahan dan pameran, muzium astronomi, restoran dan kios.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, kerja-kerja pembinaan bangunan itu di kawasan seluas 2.8 hektar sudah siap 95 peratus.

''Kini tinggal hanya kerja-kerja akhir iaitu menyiapkan landskap dan pemasangan penghawa dingin akan dilakukan.''

Apabila lengkap semua ini ia akan dibuka kepada orang ramai pada 15 Julai ini," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke planetarium itu di sini semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Md. Yunos Husin, Pengarah dan Pengarah Rekaan Syarikat Konsultan Jururunding Pico International (M) Sdn Bhd, Edmund Chen dan Bruce Head.

Planetarium Melaka terletak berhampiran Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh dekat sini.

Planetarium terbaru itu jauh lebih besar daripada Planetarium Al-Khawarizmi yang pertama dibina di negeri ini terletak di Tanjung Bidara, Masjid Tanah dekat sini.

Menurut Mohd. Ali, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka hadir untuk merasmikan planetarium itu pada 1 Ogos ini.

Di samping itu kata beliau, angkasawan pertama negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Al-Masri Sheikh Mustapha juga dijangka hadir pada perasmian itu.
''Kerajaan negeri juga merancang untuk menjalinkan kerjasama dengan empat lagi planetarium di Kuala Lumpur, Terengganu, Sarawak dan Planetarium Al-Khawarizmi," katanya.

Hubungan kerjasama itu, katanya, tertumpu kepada pertukaran bahan dan filem.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri akan terus berusaha untuk memajukan planetarium itu terutama di bidang sains dan teknologi.

Malah, beliau menyifatkan planetarium yang akan dibuka kepada orang ramai pertengahan bulan ini akan menambah tarikan kedatangan pelancong ke Melaka

Mengenai harga tiket untuk masuk ke planetarium itu, katanya, ia masih belum ditetapkan tetapi menjangkakan RM10 untuk dewasa dan pelajar pula dikenakan potongan harga.

Tiada ulasan: