Ahad, 8 Mac 2009

Laporan Kursus Asas Falak (Penentuan Arah Kiblat)

Kursus Asas Falak yang berkisar tentang penentuan arah kiblat telah berlangsung dengan jayanya selama 2 hari pada 7 & 8 Mac bersamaan 10 & 11 Rabiul Awal di Universiti Teknologi PETRONAS. Kursus ini dihadiri seramai 40 orang yang terdiri dari mahasiswa, pensyarah dan staff UTP, UIAM, UiTM Seri Iskandar dan SM Teknik Seri Iskandar. Kursus ini dianjurkan oleh Pentadbiran Masjid UTP dengan kerjasama dari Jabatan Mufti Negeri Perak. Cikgu Ahmad Taufan dari UDM bertindak sebagai pemudahcara dan penyampai semasa kursus ini berlangsung dari awal sampai akhir.



HARI PERTAMA (7 Mac 2009/Sabtu)

Acara bermula kira-kira pukul 7:30 pagi dengan pendaftaran para peserta dan sarapan pagi. Kemudian diteruskan dengan taklimat kursus kira-kira 8:30 pagi. Sesi pertama dimulakan dengan Arah Kiblat Dari Perspektif Falak yang disampaikan oleh Cikgu Ahmad Taufan dari UDM. Kemudian majlis berehat sebentar untuk minum pagi dan bersambung semula dengan tajuk Pengenalan Penggunaan Peralatan Falak.

Sesi ketiga bertajuk Kemahiran Pengiraan Arah Kiblat diteruskan setelah makan tengahari dan solat Zohor. Acara pada sebelah malam, peserta diberikan tugasan untuk menghitung arah kiblat mengikut tempat-tempat yang telah diberikan. Hari pertama berakhir kira-kira pada pukul 11 malam.




HARI KEDUA (8 Mac / Ahad)

Hari kedua dimulakan Praktikum Arah Kiblat. Pada sesi ini para peserta diberikan peluang untuk mendiri siapkan teodolit dan mencari arah kiblat menggunakan teodolit. Sebuah komuniti falak bagi kariah masjid annur juga berjaya ditubuhkan melalui yahoo groups. Acara diakhiri dengan penyampaian sijil kepada peserta dan ucapan penutup dari yang berusaha Ustaz Dawi Chahyono.



Kesimpulannya, kursus ini telah berlangsung dengan jayanya. Komitmen yang ditunjukkan oleh peserta dan urus setia amat membanggakan. Modul-modul yang dijalankan amat berkesan dan efektif serta sesuai kepada peringkat umur. Bayaran yang dikenakan kepada para peserta juga amat berbaloi dan boleh dikatakan sesiapa yang tidak menyertainya amatlah rugi. Semoga kursus ini menjadi batu asas kepada perkembangan ilmu falak di bumi UTP.

Tiada ulasan: