Ahad, 7 Jun 2009

Arasy di atas Air

Berbalik kepada surah Hud ayat 7, selepas Allah berkata langit dan bumi dicipta dalam masa enam hari, dia menegaskan, "Dan adalah arasy (Allah) di atas air..."

Kefahaman oleh ayat inidiperincikan oleh hadis yang dilaporkan oleh Muslim bermaksud, "Sesungguhnya Allah menetukan ketentuan-ketentuan mengenai semua makhluk 50,000 tahun sebelum kejadian langit dan bumi. Dan Arasynya di atas air."

Semasa menerangkan ayat ini, Syed Qutub berkata, "Semasa Allah menceritakan berkenaan kejadian langit dan bumi (dalam enam masa), Allah terus menyambungnya dengan kenyataan bahawa Arasy Allah berada di atas air. Apa yang dapat dimanfaatkan daripada kenyataan ini adalah semasa berlaku proses kejadian langit dan bumi, iaitu semasa langit dan bumi sedang menjelma keluar dalam bentuknya yang ditetapkan oleh Allah. Pada masa itu air sudah wujud dan Arasy Allah berada di atas air. Walaupun persoalan mengenai bagaimana terjadinya air ini, di mana ia sebenarnya dan bagaimana kedudukan Arasy itu di atas air, kesemua ini dan yang lain-lain seumpamanya adalah perkara ghaib yang kita tidak ada pengetahuan mengenainya melainkan sekadar ilmu yang diberikan Allah berpandukan ayat ini." Hal ini disebutkan di dalam Fi Zilal al-Quran.



Ada sesuatu yang dapat kita manfaatkan daripada kenyataan ini iaitu air wujud di peringkat awal proses kejadian langit dan bumi sebelum wujudnya hidup-hidupan lain. Kenyataan ini memang selari dengan penemuan sains semasa kerana selepas berlaku Big Bang berlaku lebih kurang 14 billion tahun dahulu, dua jenis gas wujud dan mendominasi angkasa, iaitu hidrogen (80%) dan helium (20%). Gas-gas ini kemudiannya melalui beberapa proses sehingga melahirkan bintang-bintang dan galaksi. Sebahagian daripada bintang-bintang ini meletup (exploded) sekali gus melahirkan oksigen. Oksigen bercantum dengan hidrogen dan dengan itu lahir molekul yang stabil yang bernama air. Para saintis mendapati angkasa, pada peringkat awal kejadian alam, dipenuhi dengan molekul-molekul air sekali gus menunjukkan air tidak dapat dipisahkan daripada proses kejadian alam berbilion-bilion tahun dahulu. Hal ini dilaporkan dalam Journal of Hydrological Sciences (1991) oleh Dr. Vincent Kotwicki.

Harvard Gazette bertarikh 25 Februari 1999, dalam artikel bertajuk Water, Water Everywhere - Radio Telescope Finds Water Is Common In Universe oleh Lee Simmons, dilaporkan kajian terkini menunjukkan air sememangnya memenuhi angkasa raya. Penemuan ini adalah berdasarkan maklumat yang diperoleh melalui sistem satelit yang dikenali sebagai Submilimeter-Wavw Astronomy Satellite (SWAS) yang dilancarkan ke angkasa lepas pada 5 Disember 1998. Melalui sistem satelit ini air didapati memenuhi kawasan angkasa yang menjadi tempat kelahiran bintang-bintang dan planet-planet baru. Kawasan ini dikenali sebagai interstellar clouds.




SWAS

Interstellar clouds IC 1396

Apabila diambil kira penemuan ini dan dikaitkan dengan Surah Hud, ayat 7 yang bermaksud, "Dan dia yang mencipta langit dan bumi dalam masa enam hari dan adalah Arasynya di atas air," ia mungkin bermaksud Arasy Allah, walaupun merupakan makhluk seperti langit dan bumi, namun ia terpisah daripada proses kejadian langit dan bumi. Perkataan air dalam ayat ini dapat dikaitkan dengan angkasa raya luas yang dipenuhi air. Ia sekali gus menampakkan kepada kita Arasy Allah yang berada di atasnya adalah lebih luas daripada angkasa serta alam ini.

Justeru kenyataan Allah yang bermaksud "Arasynya di atas air" membawa maksud "Arasy Allah berada di kawasan yang lebih tinggi iaitu di atas angkasa raya dan angkasa raya yang dipenuhi air berada dibawahnya." Kedua-duanya adalah terpisah daripada satu sama lain. Alam ini dan hidupan yang terdapat dalamnya memerlukan air, tetapi Arasy agak berbeza kerana ia berada di atas air dan ia tidak memerlukan air. Justeru, Arasy berada di dimensi yang berbeza. Ia adalah benda ghaib dan berada di alam ghaib.

Ayat-ayat seumpama ini adalah peringatan kepada para saintis supaya tidak tenggelam lemas dalam lautan sains sehinggakan mereka mengingkari kewujudan alam ghaib. Sains bukanlah segala-galanya. Ada perkara dalam kehidupan dan alam ini yang tidak mampu diukur oleh sains.

Tiada ulasan: