Ahad, 9 Ogos 2009

PLANETARIUM MELAKA TERCANGGIH DI ASIA TENGGARA

Jadi Kebanggaan Rakyat Malaysia

AYER KEROH: Planetarium Melaka bernilai RM20 juta yang dibuka kepada orang ramai mulai hari ini ( 9 Ogos) merupakan sebuah planetarium tercanggih di Asia, sekaligus menjadikan ia sebagai satu lagi produk pelancongan berasaskan pendidikan di negeri ini.



Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam optimis Planetarium Melaka juga bakal menjadi kebangaan kepada seluruh rakyat Malaysia, khasnya negeri ini yang mampu menjadi tarikan baik di peringkat negeri, negara serta antarabangsa.

Beliau memberitahu, projek yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri itu merupakan satu produk baru pelancongan berasaskan pendidikan bagi menarik lebih ramai pelajar sama ada sekolah rendah, menengah mahupun institusi pengajian tinggi menanamkan minat terhadap aktiviti aero-angkasa.


Pintu Gerbang Planetarium Melaka

Ketua Menteri memberitahu, Planetarium Melaka yang dilengkapi pelbagai kemudahan peralatan canggih bernilai RM2.4 juta yang pertama di Asia dibekalkan oleh Pico International (M) Sdn Bhd, berupaya melonjakkan industri pelancongan di Melaka, khususnya kajian mengenai sains angkasa lepas.

Katanya, semua peralatan yang terdapat di planetarium ini adalah buatan tempatan, cuma menggunakan pakar-pakar dari Amerika Syarikat untuk kerja-kerja dekorasi dalamannya.


Pakar Aeroangkasa... (Dari Kanan) Sam Gibbs, Charles Liddal, Bruce Head, dan Edmund Chen

"Saya sudah pergi melawat banyak planetarium di seluruh dunia. Saya lihat, Planetarium Melaka antara yang terbaik. Baru-baru ini saya pergi melawat planetarium di Quebec City, Kanada dan juga Amerika Syarikat, saya lihat tarikannya kurang berbanding di sini yang banyak mempamerkan benda-benda baru
berkaitan sains aero-angkasa," ujarnya selepas melakukan lawatan singkat di Planetarium Melaka, 1 Julai lalu.


Mohd Ali mencuba permainan berkaitan zodiak

Ketua Menteri menambah, Planetarium Melaka juga turut menyediakan simulator dan beberapa kemudahan canggih yang tidak terdapat di tempat lain.

"Biasanya kalau hendak bina simulator sendiri seperti di Auckland, kosnya begitu mahal. Di sana kita cuma boleh tengok simulator sahaja, berbanding di Planetarium Melaka setiap pengunjung boleh melihat simulator dan melawat pelbagai peralatan dan pameran yang disediakan," ujarnya.

Planetarium Melaka juga kata Mohd Ali akan mengadakan pertukaran filem dengan empat lagi planetarium yang terdapat di Malaysia iaitu di Tanjung Bidara, Planetarium Negara di Kuala Lumpur, di Kuching dan Kuala Terengganu.

"Harga tiket akan kita tentukan kemudian. Saya fikir, sekurang-kurangnya RM10 untuk dewasa dan kita akan beri potongan istimewa untuk pelajar.

Mungkin harganya mengikut kadar tiket di Melaka River Cruise atau Menara Taming Sari. Kita akan tentukan kemudian," kata Mohd Ali.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Aerospace Education Sdn Bhd, Sam Gibbs memberitahu, pihaknya (Pico) amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Melaka kerana memberi peluang melakukan kerja-kerja dekorasi dalaman di Planetarium Melaka.

"Peralatan dan kemudahan yang terdapat di sini adalah antara yang terbaik dan tercanggih sekali di Asia. Kita mempamerkan bahan-bahan terkini mengenai aero-angkasa untuk tontonan pengunjung," ujarnya.

Manakala rakannya, Bruce Head selaku Pengarah Rekabentuk Pico berkata, Planetarium Melaka berpotensi menjadi pusat kajian penting mengenai aero-angkasa.

"Ia bukan sahaja terletak di lokasi strategik dari Tol Ayer Keroh, malah Planetarium Melaka turut dilengkapi pelbagai informasi terkini tentang angkasa lepas. Pemaparan bahan-bahan pameran juga amat menarik sekali. Semua pengunjung pasti berbangga," ujarnya.

4 ulasan:

Ir. hydir berkata...

Ya .. mmg canggih
moga dapat dimanfaatkan sebaik mungkin :-)

ammar berkata...

hai Ir Hydir

memang canggih..
tp jumlah keseluruhan projek tersebut sama nilainya dengan Kompleks Falak Al Khawarizmi di Tg Bidara yang mempunyai Balaicerap, Planetarium dan Pusat Latihan

StingRay berkata...

kos yang tingi mungkin sebab kawasan jugak rasannya.Jangan banding dengan tanjung bidara.

Ni buat kat MITC.Tengah2 pusat MITC pulak tu.Tak mustahil kos dia tinggi.Kawasan pun dekat highway utama negara.Lagipun kita tak tahu perincian peralatan dalam tu yang digunakan. =)

teknologi semakin berubah rite? takkan nak stick dengan teknologi kompleks al-khwarizmi.

sekadar pandangan.

ammar berkata...

terima kasih atas pandangan StingRay..

StingRay sudah pergi ke Planetarium Melaka dan Kompleks Falak Al Khawarizmi?