Rabu, 21 Julai 2010

Wujudkah Hidupan Di Kosmos?

Antara persoalan yang menghantui para saintis pada hari ini adalah mengenai sama ada wujudnya hidupan di angkasa atau pun tidak. Hingga ke hari ini kajian dan penyelidikan mengenainya masih lagi berterusan tanpa sebarang kepastian. Mengikut Agensi Angkasa Eropah atau pun European Space Agency (ESA), bermula pada abad ke-21 lagi, negara-negara di Eropah mempergiatkan lagi usaha untuk mencari tanda-tanda kehidupan di luar bumi, terutamanya di sistem suria. Bagi mencapai tujuan ini, kapal-kapal angkasa seperti Rosetta dan Mars Express dilancarkan. Hal ini dilaporkan di http://sci2.esa.int/special events/lifeinuniverse/index.html dibawah tajuk Europe Joins The Search For Life Elsewhere In The Universe.


Umat Islam bertuah kerana lebih daripada 1400 tahun dahulu Quran telah memberi jawapan kepada persoalan ini. Dalam surah as-Syurak ayat 29 Allah menjelaskan, "Dan antara tanda (kekuasaan Allah) ialah penciptaan langit dan Bumi dan makhluk-makhluk yang melata (daabbah) yang bertebaran pada kedua-duanya. Dia maha berkuasa mengumpulkan semuanya apabila dikehendakinya"
ﯫ ﯬ ﯭ ﯮ ﯯ ﯰ ﯱ ﯲ ﯳ ﯴ ﯵ ﯶ ﯷ ﯸ ﯹ ﯺ ﯻ ﯼ

Ayat ini menunjukkan terdapat 'makhluk-makhluk yang melata' di langit dan di bumi. 'Makhluk-makhluk yang melata' ini Allah istilahkan sebagai daabbah dalam Quran. Mengikut Hans Wehr: A Dictionary of Modern Written Arabic, perkataan daabbah bermaksud 'haiwan'.

Hamka di dalam Tafsir al-Azhar, mentafsirkan daabbah sebagai 'segala yang hidup, merangkak, merayap dan berjalan dengan kaki'. Bagi Hamka ayat ini menunjukkan wujudnya hidupan di luar bumi. Beliau berkata, "Binatang yang melata bukan wujud di Bumi sahaja, tetapi ia juga wujud di langit. Tegasnya (ia wujud) di bintang-bintang lain."

Said Hawa pula, di dalam al-Asas fi al-Tafsir, mempunyai dua pandangan berhunung ayat ini.
Pertamanya, beliau tidak menafikan ayat ini mungkim mengisyaratkan mengenai wujudnya hidupan di kosmos. Walau bagaimanapun ayat ini boleh juga membawa maksud di bumi sudah ada hidupannya dalam bentuk manusia, jin, dan pelbagai jenis haiwan dan di langit juga sudah ada hidupannya dalam bentuk para malaikat. Kesemuanya sudah pun bertebaran di langit dan bumi mengikut ketetapan ilahi. Pendapat yang kedua ini adalah selari dengan tafsiran yang dibuat oleh Ibn Kathir di dalam Tafsir al-Quran al-Azim. Namun, secara dasarnya berpandukan ayat ini, Islam tidak menolak kemungkinan wujudnya hidupan di luar bumi sama ada di sistem suria atau pun kosmos.
Beta CVn

Di dalam BBC News bertarikh 19 Februari 2006, di bawah tajuk Top Stars Picked In Alien Search, Paul Rincon melaporkan, pakar astronomi, Margaret Turnbull, daripada Carnegie Institution di Washington, Amerika, mengenal pasti lima bintang yang mungkin mengandungi hidupan di atasnya. Kelima-lima bintang itu adalaah Beta CVn (di gugusan Canes Venatici), HD 10307, HD 211 415, 18 Sco (di gugusan Scorpio) dan 51 Pegasus.

51 Pegasus

HD 10307


Tiada ulasan: