Rabu, 27 Mei 2009

Alam Semesta Mengembang

Sejak alam ini wujud melalui ledakan Big Bang ia terus mengembang hinggalah ke hari ini. Berhubung dengan fenomena ini, dalam surah az-Zariyat ayat 47 Allah menjelaskan, "Dan langit kami bangun dengan kekuasaan kami dan sesungguhnya kami benar-benar meluaskannya."

Dalam ayat ini Allah menggunakan perkataan muusi'uun. Dalam bahasa Arab perkataan muusi'uun berasal daripada perkataan wasa'a. Hans Wehr A Dictionary of Modern Written Arabic oleh J Milton Cowan menterjemahkan perkataan wasa'a sebagai to be wide, roomy, spacious, extensive yang bermaksud 'menjadi besar, luas'. Justeru imam Ibn Kathir dalam tafsir al-Quran al-Azim menyatakan, ayat ini bermaksud, "Kami(Allah) meluaskan segenap penjuru (langit) dan kami meninggikannya tanpa sebatang tiang."


Pendapat ini diperkukuhkan lagi oleh As-Syeikh Said Hawa di dalam Al-Asas fi al-Tafsir. Beliau berkata, "Maksud ayat ini adalah langit ini Allah jadikan dalam keadaan mengembang secara berterusan atau pun Allah jadikan ia luas. Ayat ini adalah ayat mukjizat berhubung kejadian alam. Ia juga menunjukkan ilmu Quran jauh ke depan, melampaui tempat dan zaman. Justeru, sekiranya ada sesiapa yang masih enggan beramal dengan Quran kerana sombong dengan sains yang dimilikinya, baik sekiranya dia menilai semula dirinya sebelum terlambat."

Satu di antara versi Big Bang yang diterima umum oleh pakar-pakar sains hari ini adalah konsep pengembangan alam. Mengikut teori ini, di peringkat awal selepas berlakunya letupan Big Bang, alam ini mengembang 10 kuasa 50 daripada saiznya yang asal dan selepas itu proses pengembangan ini menjadi perlahan sedikit berbanding sebelumnya. Teori ini pada asalnya diutarakan oleh pakar kosmologi dari Amerika Alan Guth dan kemudiannya diperkembangkan oleh pakar astronomi Amerika, Paul Steinhardt, pakar astronomi Britain, Andreas Albrecht, dan pakar sains Rusia-Amerika, Andrei Linde. Hal ini dilaporkan di dalam Encarta Encyclopedia (CD) segmen Big Bang Theory, The Theory.

Paul Steindhart

Alan GuthAndrei LindeAndreas Albrecht

Alan Guth

Andrei Linde

Andreas Albrecht

Pada tahun 1929, tokoh astronomi dari Amerika, Edwin Hubble, dengan menggunakan alat yang canggih, mengesahkan alam ini sedang mengembang. Beliau mendapati semakin jauh sesebuah galaksi itu dari Bumi, semakin laju proses pengembangannya. Pada 9 Mei 1996, satu kenyataan akhbar dikeluarkan NASA berhubung dengan teori ini. Dua kumpulan pakar sains mengesahkan alam ini sememangnya sedang mengembang. Malah mereka hampir dapat menentukan kelajuan pengembangan alam ini. Kumpulan pertama yang dikenali sebagai pasukan The Hubble Space Telescope Key Project Team, dianggotai 20 orang pakar astronomi. Kumpulan ini mendapati alam ini mengembang dengan kelajuan 80km sesaat semegapersaat (km/sec/Mpc). Kumpulan kedua pula mendapati pengembangannya berlaku dengan kelajuan 57km/sec/Mpc. Kenyataan ini dilaporkan di http://spacelink.nasa.gov/, di bawah tajuk Press Release No. STScI-PR96-21 (1996), 'Hubble Space Telescope On Track For Measuring The Expansion Rate of The Universe,' 9 Mei 1996.

Edwin Hubble

Pada hari ini dengan bantuan alat yang lebih canggih penemuan-penemuan semasa semakin memantapkan lagi teori pengembangan alam ini. Pada tanggal 16 Mac 2006, di bawah tajuk Astronomers Detect First Split Second of the Universe, Space.com melaporkan pakar-pakar astronomi NASA menemui bukti-bukti baru yang mengukuhkan lagi teori Big Bang. Mereka mendapati pada peringkat awal kejadian kosmos alam ini adalah lebih kecil daripada atom. Kemudian pada masa satu per setrilion saat ia mengembang sehingga menjadi kosmos yang luas. Penemuan ini dilaporkan berdasarkan data yang disalurkan oleh satelit NASA yang dilancarkan pada tahun 2001. Satelit ini dikenali sebagai Wilkinson Microwave Anisotropy Probe atau WMAP. Ia mengukuhkan lagi teori alam mengembang sekali gus menampakkan kebenaran al Quran.
Wilkinson Microwave Anisotropy Probe

Tiada ulasan: