Khamis, 28 Mei 2009

Penciptaan alam dalam Enam Hari?

Kejadian langit dan Bumi melalui fasa-fasa tertentu. Dalam surah Hud ayat 7, Allah berfirman "Dan dia yang mencipta langit dan Bumi dalam mas enam hari dan adalah Arasynya di atas air.." Ayat ini menjelaskan berkenaan dua perkara. Pertama, ia menjelaskan kejadian langit dan Bumi melalui pelbagai peringkat. Kedua, proses kejadian Langit dan Bumi melahirkan air dan Arasy Allah berada di atas air.

Semasa menjelaskan mengenai masa yang diambil bagi kejadian langit dan Bumi (iaitu enam hari), Allah menggunakan perkataan ayyaam. Mengikut Hans Wehr A Dictionary of Modern Written Arabic oleh J Milton Cowan, perkataan ayyaam bermaksud 'age, era, time' iaitu 'umur,era,masa'. Justeru ungkapan 'enam hari' yang terdapat dalam ayat ini bukan bermaksud enam hari seperti yang kita fahami pada hari ini. Sebaliknya ia bermaksud 'enam masa atau pun enam peringkat masa'. Hal ini mudah kita fahami apabila kita mengetahui hari-hari di sisi Allah adalah berbeza mengikut dimensi yang berbeza. Kadangkala satu hari di sisi Allah menyamai 50 ribu tahun mengikut kiraan dunia. Sebagai contoh dalam surah al-Ma'arij, ayat 4 Allah menyatakan "Malaikat-malaikat dan Jibrail naik (menghadap) kepada tuhan dalam sehari yang kadarnya lima puluh ribu tahun."
Justeru, hari mengikut kiraan manusia di Bumi adalah berbeza dengan hari di alam yang berbeza dengan dimensi yang berbeza. Konsep ini adalah selari dengan sains berdasarkan konsep Pengembangan Masa atau Time Dilation yang dikaitkan dengan Teori Relativiti Albert Eintein.


Justeru, Syed Qutb di dalam Fi Zilal al-Quran berkata, "Tidak syak lagi yang dimaksudkan dengan hari dalam ayat ini adalah hari-hari yang ditetapkan Allah, dia sahaja yang tahu kadar masanya. Ia bukan hari-hari yang dihitung manusia di Bumi ini."


Hamka di dalam Tafsir al-Azhar pula berkata, "Hari (dalam ayat ini) adalah hari Allah, Tuhan sekalian alam. Ia adalah hari meliputi seluruh alam dan bukannya hari yang dikira menurut peredaran Bumi mengelilingi matahari yang hanya memakan masa 24 jam. Berjuta-juta bintang di langit mempunyai hari-harinya sendiri, mengikut edarannya mengelilingi matahari. Ada antaranya yang lebih panjang daripada hari di Bumi dan ada juga yang lebih pendek. Maka hari sebelum Bumi tercipta sudah pasti berbeza dengan hari sekarang ini."

Tiada ulasan: