Ahad, 31 Mei 2009

Enam atau pun lapan hari?

Kenyataan berkenaan kejadian langit dan Bumi melalui enam masa ataupun peringkat kejadian dinyatakan di beberapa tempat di dalam Quran. Sebagai contoh, dalam surah Hud ayat 7, surah al-A'raaf ayat 54, surah Yunus ayat 3 dan surah al-Furqan ayat 59.

Walau bagaimanapun dalam surah Fussilat ayat 9 hingga 12, Allah menjelaskan, "Sesungguhnya patutkah kamu kufur kepada Tuhan yang menciptakan Bumi dalam masa dua hari dan kamu adakan sekutu-sekutu baginya. Yang (bersifat) demikian itu adalah Tuhan semesta alam. Dan dia menjadikan di bumi itu gunung-ganang yang kukuh di atasnya. Dia memberkatinya dan dia menentukan bahan-bahan keperluan hidup penghuninnya dalam masa empat hari. (Penjelasan itu sebagai jawapan) bagi orang-orang yang bertanya. Kemudian dia menuju ke arah langit sedangkan langit masih merupakan asap. Lalu dia menjelaskan kepadanya dan kepada Bumi, 'Datanglah kamu keduanya menurut perintahku samada dengan suka hati atau terpaksa,' Keduanya menjawab, 'Kami berdua datang dengan suka hati.' Maka dia menjadikannya tujuh langit dalam dua hari dan dia mewahyukan kepada tiap-tiap langit urusannya. Dan kami hiasi langit yang dekat dengan bintang-bintang yang bersinar cemerlang serta kami mememlihara langit itu dengan sebaik-baiknya. Demikianlan ketentuan Allah yang maha perkasa, lagi maha mengetahui."

Sekiranya kita mengamati ayat-ayat ini sepintas lalu, ia seolah-olah menunjukkan proses kejadian langit dan bumi melalui lapan masa (dan bukannya enam), iaitu, "Dia menciptakan Bumi dalam masa dua hari. Dia menjadikan gunung-ganang dan menentukan bahan-bahan keperluan hidup atas Bumi dalam masa empat hari. Dia menjadikan tujuh langit dalam masa dua hari." Musuh-mush Islam suka menjadikan ayat ini sebagai bukti al-Quran tidak autentik. Mereka sebenarnya yang tersilap bukannya al-Quran.

Sebenarnya bahagian satu dan dua iaitu, "Dia menciptakan Bumi dalam masa dua hari. Dia menjadikan gunung-ganang dan menentukan bahan-bahan keperluan hidup atas Bumi dalam masa empat hari," adalah episod-episod bertindih yang berkaitan dengan proses yang sama iaitu proses kejadian bumi. Ia dapat dikiaskan dengan kenyataan seseorang iaitu, "Saya membuat asas ini dalam masa dua hari,. Kamu tidak percayakah? Saya bina dan lengkapkan rumah ini dengan segala kelengkapannya dalam masa empat hari." Berdasarkan kenyataan ini anda dapat mengatakan rumah ini dibina dalam masa enam hari. Namun kenyataan ini juga dapat ditafsirkan bagi membawa maksud pembinaan rumah ini memakan masa empat hari, iaitu dua hari bagi membuat asas rumah dan baki dua lagi bagi menyempurnakannya kerana terdapat pertindihan antara proses pertama dan kedua.

Berbalik dalam ayat-ayat ini dalam surah Fussilat ini, ciptaan bumi sebenarnya tidak dapat dipisahkan daripada kejadian gunung-ganang serta bahan-bahan keperluan hidup kerana semuanya berlaku serentak. Hal ini disebabkan gunung-ganang merupakan sebahagian daripada muka bumi. Justeru hari-hari yang Allah sebutkan dalam bahagian satu bertindih dengan hari-hari yang Allah sebut dalam bahagian dua.
Oleh sebab itu, dalam Tafsir al-Quran al-Azim, Imam Ibn Kathir berkata, "Allah mencipta Bumi dan apa yang terdapat di atasnya dalam masa empat hari dan Allah mencipta langit dalam masa dua hari."


Imam an-Nasafi pula berkata, "Berhubung dengan penciptaan bumi, (Allah menetapkan) dua hari bagi penciptaan bumi dan dua hari lagi bagi penciptaan gunung-ganang dan penetapan keperluan hidup. Kesemuanya memakan masa empat hari." Hal ini dinukilkan dalam al-Asas fi al-Tafsir oleh Said Hawa.

Seterusnya Said Hawa sendiri dalam kitab beliau al-Asas fi al-Tafsir berkata, "Berpandukan dalil-dalil daripada al quran, kenyataan langit dan Bumi dicipta dalam enam peringkat dapat dianggap sebagai satu pandangan yang putus tanpa perbezaan pendapat (qat'ii) di kalangan ulama Islam"

Tiada ulasan: